BANDAR RAYA KUWAIT – Serangan Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait semalam mengorbankan seorang rakyat India dan mencederakan 63 yang lain serta fasiliti berkenaan ditutup sementara, dalam serangan berdarah pertama di Teluk sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lalu.
Iran menyatakan, Kuwait dan Bahrain membenarkan Amerika Syarikat(AS) menggunakan wilayahnya untuk melancarkan serangan ke atas kapal tangki dan pulau Iran.
Tehran menyerang ibu pejabat Tentera Laut AS di Bahrain serta Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, tetapi tidak menyebut mengenai lapangan terbang itu.
Jurucakap kementerian kesihatan, Abdullah al-Sanad berkata, 25 ambulans dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.
“63 individu yang cedera telah dihantar ke beberapa hospital. Ini termasuk kecederaan serius termasuk kecederaan kepala, pendarahan serebrum, amputasi, dan kecederaan akibat letupan.,” katanya.
Mangsa cedera termasuk orang awam, pekerja lapangan terang dan pelancong luar.
Kompleks lapangan terbang itu merangkumi Cargo City, pangkalan yang digunakan oleh tentera AS tetapi berada agak jauh dari terminal awam.
Kementerian Luar Kuwait berkata, serangan Iran ke atas wilayahnya membunuh seorang individu dan merosakkan misi diplomatik yang tidak dinamakan.
Kementerian Luar India pula mengesahkan seorang rakyatnya terbunuh di lapangan terbang itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait, Saud Abdulaziz Al-Atwan berkata, 30 peluru berpandu balistik dan dron telah dilancarkan sebagai sebahagian daripada ‘pencerobohan kejam Iran’ yang menyebabkan ‘kerosakan harta benda ketara kepada lapangan terbang tersebut”. – AFP














