KUALA LUMPUR – Usaha membaik pulih sekolah daif dan kerja penyelenggaraan sekolah di seluruh negara akan diteruskan walaupun kerajaan dijangka melaksanakan lebih banyak langkah penjimatan menerusi Belanjawan 2027 susulan tekanan ekonomi global.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah penjimatan yang bakal diperkenalkan tidak akan menjejaskan perancangan utama Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk pengambilan guru baharu, pembinaan bilik darjah tambahan serta pelaksanaan program kebajikan murid.
Menurut beliau, sekolah daif dan penyelenggaraan sekolah kekal menjadi keutamaan bagi memastikan institusi pendidikan berada dalam keadaan kondusif dan selamat untuk pelajar.
“Kita menyambut baik pengumuman itu dalam konteks tekanan ekonomi global yang sedang berlaku ketika ini dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.
“Sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan akan diteruskan seperti biasa kerana mahu ia menjadi sebahagian daripada gerak kerja konsisten untuk memastikan sekolah kondusif serta institusi pendidikan ini terus selamat untuk anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina memberi jaminan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana langkah penjimatan itu tidak melibatkan aspek-aspek kritikal dalam sektor pendidikan.
“Sebagai contoh, program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kita akan meneruskannya kerana ia penting untuk nutrisi kanak-kanak,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Belanjawan 2027 dijangka mengandungi lebih banyak langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global yang memberi kesan kepada kedudukan fiskal negara. – KOSMO! ONLINE














