PETALING JAYA – Selepas kejayaan membawa kapal persiaran Costa Serena pada tahun 2024 diikuti MV Piano Land tahun lepas menjadikan Pelabuhan Klang sebagai ‘home port’, kini Hwajing Travel & Tours Sdn. Bhd. (Hwajing Travel) menantikan kehadiran kapal persiaran Adora Meditteranea ke Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Ia adalah inisiatif ketiga syarikat membawa kapal persiaran antarabangsa berlabuh di negara ini dalam usaha syarikat menjadikan percutian di atas kapal lebih mudah diakses oleh pelancong tempatan dan juga serantau.
Usaha ini juga bersempena ulang tahun ke-37 Hwajing Travel dalam industri pelancongan ini.
Pengarah Urusan syarikat, Kenny Cheong berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan oleh Adora Cruises untuk membawa jenama kapal tersebut sekali gus membuat pelayaran luar negaranya yang pertama.
Menurut beliau, ini mencerminkan kekuatan sektor kapal persiaran China yang semakin berkembang dan komitmen bersama untuk membangunkan pasaran pelancongan serantau.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat mencipta pengalaman percutian kapal persiaran mesra muslim yang unik untuk pelancong Malaysia dan serantau, di samping menjadi salah satu kapal persiaran paling mengujakan di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian kerjasama antara Hwajing yang diwakili oleh Cheong dengan Naib Presiden, Jualan, Pengurusan Hasil & Operasi Komersial, Adora Cruises Limited, Jenny Ye pada acara Internationale Tourismus-Börse China (ITB China 2026) baru-baru ini.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Ye menjelaskan, Malaysia adalah pasaran penting bagi Adora Cruises untuk mengembangkan jalinan antarabangsa dan pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Hwajing Travel bagi membawa Adora Mediterranea ke Pelabuhan Klang.
“Melalui penempatan ini, kami berharap dapat memperkenalkan pengalaman kapal persiaran Adora kepada pelancong di Malaysia dan serantau, menawarkan gabungan hospitaliti antarabangsa,” katanya.
Terkenal sebagai ‘Art Ship’, Adora Mediterranea menggabungkan reka bentuk berinspirasikan Mediterranean, sajian antarabangsa, hiburan langsung, bar bertema, kemudahan mesra keluarga dan aktiviti di atas kapal yang imersif.
Semua pelayaran akan berlepas dari Pelabuhan Klang dan penumpangnya akan menikmati percutian yang menarik termasuk hidangan mesra Muslim dan kru yang fasih berbahasa Inggeris, mandarin dan Melayu.
Antara destinasi percutian menaiki kapal persiaran yang akan dijadualkan belayar pada bulan November dan Disember ini adalah ke Pulau Pinang, Langkawi, Phuket, Thailand; Nha Trang, Vietnam dan juga Guangzhou, China pada harga bermula RM499 seorang. -KOSMO! ONLINE














