Mahu bercuti, berehat dan bersantai bersama keluarga dan orang tersayang, tanpa meninggalkan kota, Hilton Shah Alam Glenmarie boleh jadi pilihan termasuk juga bagi tetamu dari seluruh negara untuk menikmati momen percutian berinspirasikan resort dengan ruang terbuka serta persekitaran yang menenangkan.
Hotel yang kini dibuka kepada umum selepas melalui satu proses pengubahsuaian, dinaik taraf dengan jenama di bawah Kumpulan Hilton menawarkan kemudahan penginapan daripada pelbagai kategori bilik dan perniagaan dalam suasana berorientasikan gaya hidup.
Pengurus Besar, Linda Reddy berkata, Hilton Shah Alam Glenmarie akan membawa pengalaman percutian gaya resort ke Lembah Klang kerana lokasinya cukup mudah diakses serta lengkap dengan pelbagai kemudahan bukan sahaja untuk misi percutian singkat tetapi juga bersidang, bermesyuarat atau menyambut hati istimewa.
“Disediakan pelbagai kemudahan riadah seperti berihat di kolam renang bersama jakuzi dan meluangkan masa di Glenmarie Golf and Country Club yang terletak bersebelahan hotel.

“Kelab ini menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi termasuk pusat kecergasan lengkap, kolam renang bersaiz Olimpik, gelanggang dalaman dan luaran. Pengalaman bermain golf turut menjadi sebahagian daripada penginapan menerusi pakej Stay & Play, yang menggabungkan penginapan semalaman dengan masa di padang golf,” katanya ketika ditemui dalam lawatan media baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan kemudahan bilik hotel di sini?
LINDA REDDY: Hotel ini menawarkan 261 bilik dan suite yang sesuai untuk percutian hujung minggu mahupun penginapan lebih panjang. Beberapa Premium Executive Rooms menampilkan reka bentuk dupleks dan balkoni peribadi, dengan susun atur dua aras yang memberikan lebih fleksibiliti, keselesaan dan privasi.
Tetamu yang menginap di bilik eksekutif dan suites turut menikmati akses ke eksekutif lounge yang menyediakan hidangan ringan sepanjang hari serta bilik mesyuarat yang boleh ditempah untuk perbincangan kecil dan lebih peribadi.
Pastinya kemudahan restoran juga akan memberi kelebihan kepada tetamu?
Ya terdapat restoran Gingerfire menawarkan hidangan sepanjang hari dengan pemandangan kolam renang, Glen Lounge menjadi lokasi sesuai untuk menikmati minum petang dan minuman malam berlatar panorama terbuka.
Bagi mereka yang mahukan suasana lebih peribadi, Fūrin menawarkan pengalaman sajian Jepun, manakala Garden Terrace Restaurant pula membawa suasana terbuka dari sarapan hingga makan malam. Selain itu, Pine Café melengkapkan pilihan dengan sajian ringan dan minuman.

Apakah sasaran kadar penghunian hotel?
Sebagai sebuah hotel yang masih baharu, fokus kami ketika ini adalah untuk membina asas operasi yang kukuh, keyakinan tetamu dan kedudukan jenama jangka panjang dalam pasaran.
Prestasi penghunian hotel terus menunjukkan peningkatan yang stabil dan walaupun masih terlalu awal untuk menetapkan unjuran jangka panjang secara spesifik, dan setakat ini, kami menerima respons awal yang positif daripada segmen penginapan dan MICE.
Apakah harapan anda untuk hotel ini?
Kami berharap untuk menjadikan hotel ini sebagai sebuah resort-style urban escape, iaitu destinasi yang mana tetamu dapat kembali berhubung melalui pertemuan yang lebih bermakna, ketenangan persekitaran padang golf di sekeliling serta akses yang mudah ke bandar.
Akhirnya, kami mahu setiap pengalaman penginapan terasa lebih tenang, seimbang dan bermakna.
Apakah pandangan anda terhadap industri perhotelan di Malaysia dan kesan perang di Asia Barat selain ketidak tentuan pasaran global?
Industri hospitaliti di Malaysia terus menunjukkan momentum yang positif, disokong oleh ketibaan pelancong antarabangsa yang stabil serta permintaan kukuh daripada pelancongan domestik.
Walaupun faktor ekonomi global dan peningkatan kos perjalanan masih mempengaruhi corak perjalanan, kami juga melihat lebih ramai pelancong memilih pengalaman domestik dan serantau yang lebih bermakna dan dekat dengan mereka.
Bagi kami, ini membuka peluang untuk mencipta pengalaman penginapan yang lebih bermakna dan lebih dekat dengan komuniti setempat.

Apakah cabaran utama yang sedang dihadapi industri hospitaliti ketika ini?
Salah satu cabaran utama adalah untuk menarik dan membangunkan bakat dalam industri. Masih terdapat peluang untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian kerjaya yang tersedia dalam industri hospitaliti, serta suasana kerja dalam industri hotel yang lebih dinamik dan berasaskan interaksi dengan orang ramai.
Apakah inisiatif kelestarian yang telah dilaksanakan?
Salah satu inisiatifnya adalah kemudahan penapisan dan pembotolan air minuman sendiri untuk bilik tetamu.
Melalui usaha ini Kami telah mengurangkan penggunaan lebih 200,000 botol plastik di seluruh hotel. Kami juga telah menggantikan beg dobi plastik dengan alternatif biodegradasi, selain memperkukuhkan usaha pengurangan sisa dan amalan kitar semula di seluruh hotel.
Dalam operasi kulinari pula, kami telah mula menggunakan telur cage-free di restoran-restoran kami serta mendapatkan lebih 25 peratus bekalan makanan laut daripada sumber tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap sumber yang lebih bertanggungjawab. -KOSMO! ONLINE














