PETALING JAYA – Kes pendaki sesat di kawasan hutan dan rekreasi di seluruh negara meningkat hampir 30 peratus dalam tempoh lima bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 52 kes melibatkan 114 mangsa direkodkan sejak Januari hingga bulan lalu berbanding 40 kes dengan 88 mangsa dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Katanya, peningkatan sebanyak 12 kes atau 30 peratus itu turut melibatkan pertambahan jumlah mangsa seramai 26 orang bagi tempoh sama tahun lalu.
“Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi bagi tempoh tersebut dengan kebanyakan kes melibatkan kawasan pendakian dan rekreasi popular sekitar Lembah Klang seperti Air Terjun Kanching di Rawang, Bukit Wawasan (Puchong) dan Bukit Broga (Semenyih).
“Lokasi lain di Bukit Gasing (Petaling Jaya), Bukit Saga dan Bukit Apek (Hulu Langat) serta beberapa kawasan di Kota Damansara,” katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata, selain Selangor, Kuala Lumpur turut mencatatkan jumlah kes tinggi di kawasan Bukit Kiara, Bukit Gasing dan Bukit Sungai Besi.
“Pulau Pinang turut merekodkan beberapa kes setiap tahun di kawasan rekreasi terkenal seperti Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Bukit Jambul, Batu Feringghi, Balik Pulau dan Teluk Bahang,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 88 kes sesat melibatkan 193 mangsa dilaporkan sepanjang tahun lalu dengan Selangor menjadi negeri paling banyak mencatatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki sesat.
Lokasi seperti Bukit Wawasan Puchong merekodkan kes berulang sepanjang tahun lalu menjadikan antara lokasi paling kerap berlakunya kes pendaki hilang.
“Antara kes terbesar tahun ini masing-masing 10 mangsa tersesat di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada 9 Mei lalu dan tujuh mangsa di kawasan Kem Kasut Gunung Yong Belar, Gua Musang pada Februari lalu,” katanya.
Trend peningkatan yang direkodkan setakat bulan lalu itu menunjukkan jumlah kes tahun ini berpotensi melepasi angka keseluruhan tahun lalu sekiranya keadaan tersebut berterusan hingga penghujung tahun.
Peningkatan itu dipercayai berkait rapat dengan pertambahan minat orang ramai terhadap aktiviti pendakian dan rekreasi luar terutama di kawasan bukit dan hutan yang mudah diakses berhampiran bandar.
Katanya, aktiviti mendaki dan riadah lasak dilihat menjadi trend gaya hidup masyarakat sehingga menarik lebih ramai penyertaan golongan baharu.
Trend itu menyebabkan semakin ramai individu mula mencuba aktiviti mendaki dan meneroka hutan sebagai aktiviti riadah.
Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah aspek keselamatan sebelum melakukan aktiviti tersebut.
Tambahnya, persiapan fizikal dan pengetahuan asas amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk sesat. -KOSMO! ONLINE














