LAMBAIAN Kaabah sudah pun bergema, menyatukan jutaan jiwa di bawah payung rahmat-Nya sempena musim haji tahun ini.
Di sebalik kesibukan jadual seni, beberapa bintang industri hiburan tanah air juga turut menjadi jiwa-jiwa bertuah yang dipilih antara jutaan hamba untuk bergelar duyufurrahman (tetamu Allah) di Tanah Suci Mekah.
Meninggalkan dunia glamor menelusuri perjalanan rohani, HibGlam minggu membawakan sorotan mengenai lima selebriti tempatan yang kini sedang berada di Tanah Suci sesudah menyempurnakan rukun Islam kelima.
Datin Lisa Surihani
Pelakon filem I’m Not Single, Datin Lisa Surihani berangkat ke Tanah Suci menunaikan haji pada 7 Mei lalu.
Sepatutnya dia bersama syurganya iaitu Datuk Yusry Abd. Halim mengerjakan ibadah haji bersama, namun permohonan visa suaminya tidak diluluskan memaksa Lisa melakukan perjalanan rohani itu seorang diri.
“Sebelum melangkah pergi, saya dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala kesilapan, tutur kata, atau perbuatan yang mungkin pernah mengguris hati, sama ada sengaja mahupun tidak.
“Hati saya juga diselubungi rasa syukur yang tidak terhingga buat insan-insan mulia yang sangat pemurah memberi pelbagai kelengkapan dan buah tangan bagi memudahkan urusan ibadah saya di sana.
“Dalam menyahut panggilan suci ini, saya menyerahkan keluarga tersayang sepenuhnya bawah jagaan dan perlindungan Allah SWT, sebaik-baik Penjaga,” ungkap Lisa.

Tomok dan isteri
Selain Lisa, hero gandingannya dalam filem Istanbul Aku Datang iaitu Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan turut berangkat menunaikan ibadah haji bersama isteri pada 9 Mei lalu.
“Alhamdulillah saya dan isteri selamat sampai di kota Mekah. Semoga Allah permudahkan untuk kami dan semua jemaah yang berada di sini untuk hari ini dan seterusnya. Amin,” tulisnya dalam Instagram.
Vokalis kumpulan New Boyz itu juga dilihat menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-42 di tanah suci pada 17 Mei lalu.
“42 tahun. Alhamdulillah, terima kasih Allah atas segala nikmat yang diberikan. Berada di bumi Mekah bersama isteri di hari ulang tahun, nikmat yang saya harus syukuri,” tulisnya.

Wan Khatijah
Tahun ini turut menjadi tahun yang bermakna buat pelakon dan usahawan, Wan Khatijah apabila mendapat panggilan haji bersama suaminya, Azlisham Ismail yang merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan.
Bekas Dewi Remaja 1995 itu berangkat ke tanah suci pada 10 Mei lalu.
“Kami dengan rendah hati ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf atas segala salah silap, kekhilafan dan keterlanjuran kata kepada semua, sama ada yang disengajakan mahupun tidak disengajakan.
“Dengan itu, kami memohon doa agar perjalanan kami dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT. Semoga segala urusan dipermudahkan dan kami dikurniakan haji yang mabrur serta dapat kembali ke tanah air dengan selamat, Insya-Allah.
“Kami juga menyerahkan sepenuhnya keluarga tercinta kami di bawah lindungan dan jagaan Allah SWT, sebaik-baik Penjaga, insya-Allah,” tulisnya.

Mahmud Ali Bashah
Pelakon veteran Mahmud Ali Bashah juga merupakan salah seorang selebriti popular tanah air yang terpilih sebagai duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan ibadah haji pada musim ini.
Kisah keberangkatan anak seni kelahiran Sarawak ini ke Tanah Suci pada usia 66 tahun membawa naratif yang sangat menyentuh hati dan sarat dengan nilai keinsafan apabila penantiannya selama lebih 30 tahun akhirnya terlestari.
Peningkatan usia selain kehilangan ramai rakan seperjuangan dalam dunia seni membuatkan dia mula lebih memikirkan soal kematian, bekalan akhirat dan keperluan berubah menjadi insan lebih baik.
Katanya, ketika muda dia terlalu sibuk mengejar kerjaya sehingga pernah melalui fasa zaman gelap dan mengabaikan kehidupan beragama.
Dia berkongsi pengalaman tersilap memahami proses pendaftaran haji sewaktu usia 30-an. Sangkaannya buka akaun dan menyimpan wang di Tabung Haji sudah dikira mendaftar secara automatik. Akibatnya, dia perlu menunggu lama dan melakukan rayuan sebanyak tiga kali sebelum terpilih.

Ezad Lazim
Seorang lagi vokalis kumpulan terkenal, Ezad Lazim dari kumpulan Exist turut menjadi tetamu istimewa di tanah suci pada tahun ini.
Ezad berangkat ke tanah suci bersama isterinya pada 30 April lalu.
“Alhamdulillah direzekikan sampai lagi ke sini (Mekah). Tiada kata yang mampu terucap. Puji dan syukur atas segalanya. Semoga dipermudahkan semuanya,” tulisnya dalam Instagram.















