PETALING JAYA – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Langat berdepan detik cemas apabila ditanduk seekor lembu yang terlepas ketika operasi menangkap haiwan korban itu di Impian Golf and Country Club, Saujana Impian, Kajang semalam.
Kejadian tersebut tular menerusi satu rakaman video yang memaparkan keadaan kecoh ketika anggota APM cuba mengawal lembu berkenaan bagi memastikan keselamatan orang awam.
Dalam kejadian itu, Lans Koperal (PA) Ahmad Shafri Yahya dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian hidung selain terseliuh kaki selepas terkena tandukan haiwan terbabit.
Seorang orang awam turut cedera pada bahagian siku dan lutut kiri ketika membantu mengawal keadaan.
Sementara itu, APM Hulu Langat dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.36 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Seorang anggota mengalami kecederaan, manakala seorang orang awam cedera di bahagian siku dan lutut kiri.
“Operasi selesai pada pukul 12.43 tengah hari selepas lembu berkenaan berjaya ditangkap dan diikat semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE














