SEREMBAN – Bermula dengan tempahan kecil-kecilan daripada jiran dan kenalan rapat, siapa sangka kuih tradisi hasil air tangan seorang suri rumah berjaya mendapat tempahan daripada hotel bertaraf empat bintang dibawah jenama Kueh Tradisional BONDA.
Pengasas Sinar Enterprise, Zarima Zakaria, 42, berkata, dia tidak menyangka perniagaan kuih tradisi yang diusahakan dari rumah sejak 2015 akhirnya membuka peluang lebih besar apabila produk itu mendapat perhatian industri perhotelan.
Menurutnya, semuanya bermula apabila seorang guru masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mencadangkannya mendapatkan Pensijilan Halal bagi mengembangkan lagi perniagaan.
“Guru itu banyak memberi semangat kepada saya untuk melangkah lebih jauh. Dari situ pihak hotel mula mengenali produk saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, peluang menerima tempahan hotel sejak dua tahun lalu menjadi titik paling bermakna dalam perjalanan perniagaannya kerana ia membuktikan kuih tradisi tempatan juga mampu bersaing pada tahap lebih tinggi.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur apabila hotel mula membuat tempahan. Ia memberi keyakinan bahawa produk saya mampu pergi lebih jauh,” ujarnya.
Jelasnya, antara syarat utama untuk memenuhi permintaan pihak hotel ialah memastikan tahap kebersihan sentiasa terjaga, mengekalkan kualiti makanan dan mematuhi jadual penghantaran yang ditetapkan.
Bagi memastikan rasa kuih kekal konsisten, Zarima menggunakan sukatan sama bagi setiap penghasilan selain memilih bahan segar dan berkualiti.
Jelasnya, antara kuih tradisi yang paling mendapat sambutan ialah seri muka, kuih lapis dan talam yang terkenal dengan tekstur lembut serta rasa asli resipi turun-temurun keluarganya.
“Saya juga tidak terkecuali berdepan cabaran seperti kuih tidak menjadi dan tempahan dibatalkan pada saat akhir, namun saya tetapkan diri supaya tidak mudah berputus asa,” katanya.
Zarima yang kini dibantu ahli keluarga dan pekerja berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan serta memiliki kedai sendiri pada masa hadapan.















