ALOR SETAR – Seorang pemandu Toyota Alphard dikesan mempunyai lebih 20 saman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tertunggak bernilai lebih RM6,000 selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berusia lewat 30-an itu dikatakan melarikan diri ketika ditahan JPJ di hadapan sebuah pusat perubatan swasta di sini sebelum berjaya dikesan di belakang bangunan dekat sebuah bank di Mergong.
Pengarah JPJ negeri, Stien Van Lutam berkata, hasil semakan mendapati kenderaan berkenaan mempunyai lebih 20 saman AES tertunggak bernilai melebihi RM6,000 serta tidak memiliki cukai jalan dan insurans sah sejak Februari lalu.
“Pemilik turut memberi alasan saman tersebut baru ‘muncul’ pada tahun ini serta mengalami masalah kewangan dengan meminta supaya diberikan masa untuk membayar saman tersebut.
“Tindakan saman dan sita tetap dilakukan terhadap pemandu terbabit yang merupakan seorang tauke lori,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan melarikan diri tidak akan menghalang penguatkuasaan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya. – KOSMO! ONLINE














