ALOR SETAR – Seorang ejen hartanah yang disyaki menikam leher kenalan wanitanya di dalam kereta di Titi Gajah pada 17 Mei lalu tiba di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini untuk pertuduhan.
Lelaki berusia 32 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan van polis kira-kira pukul 8.36 pagi tadi.
Pertuduhan terhadapnya dijangka dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Pendakwaan mengikut seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak cedera parah pada leher akibat ditikam seorang kenalan lelaki di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah kira-kira pukul 9.19 malam pada 17 Mei lalu.
Kejadian tikam itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
Suspek yang melarikan diri sebaik kejadian berjaya ditahan ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda di sini kira-kira pukul 1.50 pagi pada 18 Mei lalu.
Suspek dan mangsa dikatakan saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana mereka masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah.
Motif kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.
Sebilah pisau rambo yang disyaki digunakan dalam kejadian itu berjaya ditemukan polis di kawasan sawah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas dipandu arah oleh suspek sendiri. – KOSMO! ONLINE














