fbpx
GAMBAR HIASAN

169,803 lepasan SPM terima tawaran masuk IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 169,803 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi UPUOnline bagi kemasukan tahun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, jumlah tersebut mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima dalam kalangan lepasan SPM.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 91,357 calon ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA), diikuti 60,947 (politeknik), 15,844 (Kolej Komuniti) dan 1,655 lagi (Mara Bahagian Pendidikan Tinggi – MARA BPT).

“KPT menawarkan laluan khas kepada 701 orang kurang upaya (OKU), 310 (Orang Asli), 179 (atlet) dan 10,499 (kategori B40).

“Selain itu, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima tawaran kemasukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KPT berkata, buat pertama kali semua program pengajian turut dibuka kepada calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing bagi memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil.

KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas sebagai usaha memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kali ini melibatkan 41 program sijil, 57 (Asasi), 264 (diploma) dan satu ijazah sarjana muda.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan calon yang tidak berjaya mendapat tawaran masih berpeluang membuat rayuan menerusi UPUOnline bermula hari ini sehingga pukul 5 petang, 31 Mei ini.

Tawaran peluang kedua itu dibuka selama 10 hari bermula pukul 12 tengah hari, 22 Mei (hari ini),” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN