fbpx
KELIBAT beruang matahari sempat dirakam ketika cuba memasuki rumah sebuah penduduk di Kampung Alor Belanga, Jertih, Besut baru-baru ini.

Beruang merayau, penduduk tidak lena tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Penduduk Kampung Alor Belanga, Jertih, di sini, kini hidup dalam ketakutan dan tidak lagi dapat lena tidur sejak sebulan lalu apabila seekor beruang matahari yang sesat mula berkeliaran di perkampungan mereka.

Kehadiran haiwan liar itu juga semakin ganas apabila bertindak merosakkan sarang madu kelulut, membaham ternakan serta memusnahkan tanaman penduduk yang menjadi sumber pendapatan mereka.

Seorang penduduk, Muhammad Isazuali Mohd Yusof, 27, berkata, pada mulanya, dua sarang kelulut yang diusahakannya habis dikerjakan beruang matahari itu, kira-kira dua minggu lalu.

“Pada Jumaat minggu lalu, seekor kambing yang saya bela pula mati dipercayai angkara haiwan liar yang sama.

“Saya jumpa bangkai kambing tersebut dalam keadaan ngeri tanpa organ dalaman kira-kira 10 meter di belakang rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Abd. Aziz Nasir, 51, berkata, sebanyak 10 sarang kelulut yang diusahakannya juga musnah dikerjakan beruang matahari yang sama.

“Tidak cukup dengan itu, haiwan liar sama juga mengganas dengan merosakkan beberapa pokok kelapa yang ditanam di pekarangan rumah saya.

“Kami sekeluarga dalam ketakutan kerana sudah tiga kali beruang itu tersesat menghampiri rumah dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Alor Belanga, Abdullah Hassan pula berkata, beruang matahari terbabit kerap muncul terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

Katanya, kemunculan haiwan ganas terbabit telah menyebabkan kebanyakan penduduk takut untuk keluar rumah terutama pada waktu malam.

“Kita sudah buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Per­hilitan). Harap beruang matahari itu dapat ditangkap segera bagi meredakan keresahan kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN