KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mengambil keterangan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mencetuskan kontroversi selepas mengaitkan Saidina Abu Bakar dengan istilah ‘ceti’ dalam ceramahnya baru-baru ini.
Nik Muhammad Zawawi mengesahkan perkara tersebut menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.
“Hadir memberi kerjasama,” katanya ringkas hari ini.
Sementara itu, sumber berkata, pemimpin politik tersebut dipanggil bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
“Selain itu, kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 120 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kerana mencerca agama.
“Ahli Parlimen Pasir Puteh itu memberi keterangan selama lebih satu jam sehingga pukul 11.40 pagi tadi,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan polis merakamkan keterangan daripada 65 individu berhubung ceramah kontroversi tersebut termasuk Nik Muhammad Zawawi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. – KOSMO! ONLINE














