GUA MUSANG – Lencongan sementara di Kilometer (KM) 45, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau di sini dijadualkan dibuka bermula esok selepas laluan itu ditutup susulan kejadian runtuhan tanah di kawasan tersebut pada 3 Disember lalu.
Pengerusi Jawantankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pembukaan laluan lencongan itu memulihkan semula jalan perhubungan antara negeri Kelantan, Pahang dan Perak.
Katanya, pembinaan laluan tersebut merupakan hasil tindakan pantas susulan lawatan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 2 Februari lalu.
“Pembukaan laluan berkenaan dijangka memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya serta menghidupkan kembali aktiviti ekonomi rentas negeri khususnya melibatkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik yang terjejas sebelum ini,” katanya.
Kosmo Online! sebelum ini melaporkan kerja pembinaan kawasan cerun atau tebing bukit di KM 45, Jalan Gua Musang-Lojing yang runtuh pada awal Disember lalu dijalankan bermula Mac.
Terdahulu, pergerakan air bawah tanah dipercayai menjadi punca berlakunya runtuhan jalan di KM 45 Jalan Gua Musang-Lojing, berhampiran Pos Blau di sini pada 3 Disember lalu sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera apabila kereta jenis Proton Satria Neo dipandunya terjatuh ke dalam gaung. – KOSMO! ONLINE














