KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Dqtuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sukan dan olahraga merupakan medium paling berkesan dalam menyemarakkan semangat perpaduan serta penyertaan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menurut beliau, dalam kerangka Malaysia Madani, pembangunan negara bukan sahaja tertumpu kepada transformasi tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, malah turut menekankan aspek keterangkulan rakyat secara menyeluruh.
“Semangat penyertaan rakyat dalam aktiviti sukan menjadi lambang demokrasi sebenar apabila masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang dapat bergerak bersama dalam satu semangat.
“Makna sebenar ‘participatory democracy’ bukan hanya dalam pilihan raya atau proses politik semata-mata, tetapi penglibatan rakyat biasa dalam semua kegiatan termasuk sukan dan olahraga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara di Bukit Jalil dekat sini hari ini.
Tambah beliau, keunikan sukan terletak pada sifatnya yang mampu menyatukan rakyat tanpa melihat perbezaan kaum atau agama.
“Orang tidak kira siapa yang menjaringkan gol atau melakukan smash dalam badminton, Melayu, Cina, India atau Kadazan. Yang penting kemenangan dan semangat bersama,” katanya.
Anwar berkata, semangat kesukanan juga perlu dipupuk sejak di bangku sekolah termasuk menghormati lawan, menerima kekalahan dengan terbuka dan tidak merendahkan pihak yang tewas.
Menurutnya, budaya itu mampu melahirkan masyarakat lebih matang, berdisiplin dan mempunyai semangat persaudaraan tinggi.
Beliau turut memuji semangat luar biasa yang dipamerkan atlet muda dan pelajar sekolah yang sanggup berjuang demi pasukan serta rakan-rakan mereka sehingga berjaya mencatat pencapaian di luar jangkaan. – KOSMO! ONLINE














