PETALING JAYA – Menolak dakwaan pemilihan sebagai teraju utama teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) bersama Mila Mohsin berlandaskan ‘kabel’, penyanyi Aisha Retno menegaskan mereka melalui proses saringan seperti calon lain.
Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, berkata, status mahupun pertalian bukan faktor pemilihan, sebaliknya kerja keras mereka menjadi antara kriteria untuk berada dalam barisan pementasan mega itu.
“Buat pengetahuan semua, kami bekerja keras untuk menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang baharu ini yang akan dipentaskan pada Oktober depan.
“Kami tidak pernah berada di zon selesa, tiada kabel — tiada keistimewaan hanya kerana kami ini terkenal dan sebagainya.
“Kami dilayan sama rata untuk beberapa hari ini. Apa yang harus saya katakan, teater muzikal ini diibaratkan seperti ‘lifetime camp’,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Penyanyi merangkap komposer itu juga berharap pihak yang skeptikal dapat memberi kepercayaan terhadap mereka serta keseluruhan pasukan PGLM yang akan dipentaskan Oktober ini.
“Berilah kepercayaan kepada kami berdua dan barisan pelakon lain. Kami akan komited demi persada teater muzikal di Malaysia,” ujarnya.
Perkongsiannya meraih sokongan peminat yang menyatakan penerbit juga pemegang watak asal puteri ikonik itu, Puan Sri Tiara Jacquelina sebagai individu tegas serta tahu siapa lebih layak.
“Jadilah diri sendiri! Fokus kepada perkara positif. Teruskan berkongsi perjalanan anda kerana kami tidak sabar untuk melihat anda berdua menghidupkan watak ikonik Puteri Gunung Ledang. Abaikan sahaja segala suara negatif.
“Anda dan Mila sememangnya layak menerima peluang ini. Kedua-duanya memiliki bakat serta pakej lengkap, dan kami tidak sabar untuk menyaksikan interpretasi tersendiri daripada anda berdua terhadap watak tersebut,” tulis netizen.
Sebelum ini, nama Aisha diumumkan memegang watak Gusti Putri Retno Dumilah atau Puteri Gunung Ledang bersama Mila bagi teater yang dipentaskan semula selepas dua dekad.
Pelakon lain ialah Mimi Fly dan Nadia Aqilah bagi watak Bayan iaitu pembantu setia puteri, manakala Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka, Yusuf Hashim (Gusti Adipati) serta Aqasha (Hang Tuah). – KOSMO! ONLINE














