BRUSSELS – Penyerang veteran, Romelu Lukaku tetap disenaraikan dalam skuad Belgium ke Piala Dunia 2026 meskipun tahap kecergasannya masih menjadi tanda tanya selepas baru pulih daripada kecederaan hamstring baru-baru ini.
Ketua Jurulatih Belgium, Rudi Garcia mengakui penyerang kelab Napoli itu masih belum mencapai tahap terbaik, tetapi kekal dianggap sebagai aset penting buat pasukan bagi mengharungi kejohanan bola sepak terbesar dunia itu bulan depan.
“Lukaku sudah pulih, tetapi dia belum berada pada tahap terbaik dan saya tidak pasti dia mampu memulakan perlawanan peringkat kumpulan dalam kesebelasan utama.
“Namun, dia tetap penyerang terbaik kami dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium.
“Kami ada lima minggu untuk memastikan dia kembali cergas sepenuhnya supaya dapat membantu pasukan apabila kejohanan bermula nanti,” katanya selepas mengesahkan senarai 26 pemain Belgium, awal pagi semalam.
Bekas penyerang Manchester United itu yang kini berusia 33 tahun hanya membuat tujuh penampilan sebagai pemain gantian musim ini dengan jumlah keseluruhan 69 minit selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Bekas penyerang Manchester United itu telah meledak 89 gol dalam 124 penampilan antarabangsa dijangka beraksi dalam Piala Dunia keempat bersama beberapa tonggak senior yang turut terpilih seperti seperti Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne dan Axel Witsel. – AGENSI













