PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar tahfiz yang mempunyai minat serta kelayakan dalam bidang penerbangan.
Katanya, antara kelainan bagi proses pemilihan kali ini ialah calon yang berjaya ke fasa terakhir temu duga perlu berhadapan sendiri dengan beliau untuk sesi tasmik atau Tebuk Al-Quran.
“Fasa terakhir temu ramah adalah bersama Pengerusi Mara untuk sesi tasmik atau #TebukAlQuran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Langkah itu dilihat sebagai usaha Mara dalam melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang penerbangan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai asas agama dan sahsiah yang baik. – KOSMO! ONLINE














