PETALING JAYA – Majlis Berandam Surai bagi anakanda kelima dan puteri ketiga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim selamat berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor sebelum ini selamat melahirkan Tunku Khadeeja Khayra Iskandariah pada 5 April lalu di Hospital Sultanah Aminah.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta keluarga diraja Johor.
Turut berangkat, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah dan Tunku Besar Zabedah Almarhum Sultan Iskandar.
Upacara potong jambul dimulakan oleh Seri Paduka Baginda berdua sebelum diteruskan oleh kerabat diraja lain sambil diiringi selawat ke atas Nabi yang diketuai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad. – KOSMO! ONLINE














