KAJANG – Polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) berhampiran Taman Bukit Mewah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.45 petang tadi.
Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku pada semalam kira-kira pukul 5.15 petang melibatkan tiga lelaki yang menaiki sebuah Perodua Axia berwarna perak.
“Suspek dipercayai sedang memotong kabel yang disyaki milik TM sebelum melarikan diri selepas ditegur penduduk setempat.
“Tindakan mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Balasundaram Gobal di talian 010-2272724 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis turut menasihatkan masyarakat supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-89114243 sekiranya melihat atau mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














