BATU PAHAT – Lelaki warga emas yang memandu sebuah van dan menyebabkan kematian seorang murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maimon di Parit Sulong di sini tengah hari semalam ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, permohonan reman ke atas lelaki berusia 60 tahun itu dilakukan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bermula 6 hingga 8 Mei selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pukul 8 pagi tadi,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, polis telah menahan suspek selepas terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini tengah hari semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa yang juga murid Tahun 2 sekolah berkenaan sedang berjalan kaki dilanggar di hadapan pintu pagar utama.
Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.-KOSMO! ONLINE














