PETALING JAYA – Irkaz Travel & Tours Sdn Bhd (Irkaz Travel) komited menawarkan perkhidmatan berkualiti untuk jemaah haji di bawah kendaliannya pada musim haji kali ini agar pelanggannya bukan sahaja selesa mengikuti jadual yang tersusun tetapi juga mendapat pengalaman beribadah yang cukup bermakna.
Pengarah Urusan Irkaz Travel, Mohd. Zakri Mohamad Nor berkata, persiapan rapi telah dirangka agar perjalanan jemaah berjalan lancar dan pihaknya telah selesai menganjurkan Kursus Haji Perdana yang bertujuan untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada jemaah mengenai ibadah haji daripada aspek teori dan praktikal.
“Syarikat akan terbangkan dua kumpulan jemaah yang akan diiringi oleh dua guru agama, bagi memastikan bimbingan yang lebih dekat, terperinci dan berfokus sepanjang perjalanan ibadah di Tanah Suci,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Jemaah haji di bawah kelolaan Irkaz Travel dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 7 Mei ini KT062B, menandakan permulaan perjalanan ibadah haji pertama syarikat sebagai PJH.
Irkaz Travel telah dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) selepas tiga tahun beroperasi dalam industri umrah dan pencapaian ini dilihat sebagai satu lonjakan besar bagi syarikat yang sebelum ini memberi fokus kepada perkhidmatan umrah.
Mohd. Zakri berkata, ini adalah fasa baharu buat syarikat dalam menguruskan jemaah haji secara rasmi.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan pihak berautoriti, malah hasil daripada komitmen berterusan dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada para jemaah.
“Dalam tempoh yang singkat ini, kami diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai PJH. Ini satu amanah besar dan kami komited untuk memastikan pengalaman haji yang selesa, tersusun dan bermakna buat setiap jemaah,” jelas beliau.
Dalam usaha meningkatkan keselesaan jemaah, Irkaz Travel turut menyediakan 20 barangan keperluan khas kepada setiap jemaah haji dan ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memastikan jemaah lebih bersedia dari segi kelengkapan sepanjang berada di Tanah Suci.
Selain itu, Irkaz Travel menyasarkan untuk meningkatkan jumlah jemaah haji dan memperkukuhkan operasi PJH pada tahun hadapan.
Fokus utama termasuk penambahbaikan perkhidmatan, mengukuhan sistem sokongan jemaah dan peluasan kapasiti operasi bagi memenuhi permintaan yang semakin berkembang.
“Ini baru permulaan. Kami akan terus menambah baik perkhidmatan dan menyasarkan lebih ramai jemaah untuk tahun akan datang,” ujar beliau.
Mengulas mengenai segmen umrah, Mohd. Zakri berkata, permintaan bagi pakej umrah turut menunjukkan perkembangan positif apabila Irkaz Travel menerima peningkatan pertanyaan untuk musim selepas haji yang dijadualkan bermula Julai ini.
Bersandarkan permintaan tinggi itu, syarikat memperkenalkan promosi sempena Hari Pekerja dengan tawaran harga promosi bagi musim baharu yang bermula pada harga RM9,090, merangkumi penginapan hotel berjarak dekat dengan masjid serta kemudahan kereta api laju (High Speed Train) bagi meningkatkan keselesaan perjalanan jemaah. -KOSMO! ONLINE














