KERJASAMA strategik antara PUBG Mobile dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menandakan satu perkembangan signifikan dalam landskap e-sukan dan pendidikan tinggi negara.
Melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 April lalu, kedua-dua pihak bukan sahaja mengiktiraf potensi industri permainan digital sebagai sektor masa hadapan, malah membuka laluan baharu kepada pelajar untuk mengembangkan bakat dalam ekosistem yang semakin berkembang pesat.
PUBG Mobile merupakan permainan video royale battle di telefon bimbit yang popular.
Kerjasama berskala nasional ini melibatkan rangkaian kampus UiTM di seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh akses dan penyertaan pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Ia hadir pada waktu industri e-sukan semakin mendapat tempat sebagai bidang kerjaya yang sah dan berdaya saing, seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital negara.
Dalam konteks ini, inisiatif yang diperkenalkan dilihat sebagai langkah proaktif untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan keperluan industri.
Melalui MoU ini, pelajar UiTM bakal menikmati pelbagai peluang yang sebelum ini mungkin sukar dicapai dalam laluan pendidikan tradisional.
Antaranya termasuk penempatan bagi tujuan pengajian akademik, latihan industri serta penglibatan dalam projek penyelidikan berkaitan permainan digital dan e-sukan.
Pendekatan ini membolehkan pelajar bukan sahaja memahami teori, tetapi juga memperoleh pengalaman praktikal yang relevan dengan kehendak pasaran semasa.
Di luar bilik kuliah, inisiatif ini turut memberi penekanan kepada pembangunan holistik pelajar.
Penubuhan kelab e-sukan rasmi di kampus, penganjuran kejohanan serta aktiviti interaktif membuka ruang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran strategik, kerja berpasukan dan kepimpinan.
Dalam dunia e-sukan yang kompetitif, elemen-elemen ini menjadi asas penting untuk melahirkan pemain dan profesional yang berkualiti.
Menurut Pengurus Produk PUBG Mobile Malaysia, Ashley Phuah, kerjasama itu merupakan satu langkah penting dalam memperluas peluang kepada generasi muda.

“Kami komited untuk menyokong pelajar di seluruh Malaysia dengan menyediakan peluang sebenar untuk mereka meneroka industri permainan dan e-sukan pada skala yang belum pernah dilihat sebelum ini.
“Dengan mengintegrasikan ekosistem, kami bersama salah satu rangkaian akademik terbesar negara, kami merapatkan jurang antara minat dan kecemerlangan profesional,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MoU ini hanyalah permulaan kepada pelbagai inisiatif jangka panjang yang bakal diperkenalkan.
Fokus utama adalah untuk memperkasa pelajar agar mampu membangunkan kemahiran bernilai tinggi, menzahirkan kreativiti dan seterusnya menjadikan minat sebagai kerjaya mampan dalam ekonomi digital.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahibuddin menyifatkan kerjasama ini sebagai selari dengan visi universiti dalam menyediakan pendidikan yang relevan dan berpandangan jauh.
“Melalui kerjasama dengan PUBG Mobile, kami dapat memperluas peluang pembelajaran melangkaui laluan tradisional.
“Ini penting bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran dalam bidang e-sukan, media digital dan industri baharu yang terus membentuk tenaga kerja masa hadapan,” ujarnya.
Dalam jangka masa panjang, antara inisiatif yang bakal diperkenalkan termasuk kejohanan kampus PUBG Mobile yang akan diadakan di seluruh rangkaian UiTM.
Platform ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing, malah berpotensi menjadi batu loncatan ke liga e-sukan profesional. Selain itu, kempen khusus juga akan dilaksanakan bagi menyokong bakat pencipta kandungan, sekali gus mengukuhkan kehadiran pelajar dalam dunia penstriman dan media digital.
Majlis menandatangani MoU tersebut turut diserikan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan yang menyertai barisan kepimpinan untuk sesi bergambar kenangan.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan pihak kerajaan terhadap pembangunan industri e-sukan sebagai sebahagian agenda ekonomi digital negara.
Secara keseluruhannya, kerjasama antara PUBG Mobile dan UiTM ini bukan sekadar satu perjanjian formal, tetapi simbol kepada perubahan paradigma dalam pendidikan dan pembangunan bakat di Malaysia.
Ia mencerminkan bagaimana institusi akademik dan pemain industri boleh berganding bahu untuk mencipta ekosistem yang lebih inklusif, dinamik dan relevan dengan keperluan masa hadapan.
















