RANTAU PANJANG – Seorang penyeludup lari lintang-pukang selepas kegiatannya menyeludup sebanyak 20 ekor lembu dari Thailand dikesan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di tebing Sungai Golok di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota tentera menjalankan tinjauan dengan mini Unmanned Aerial Vehicle (UAV) di Sungai Golok kira-kira pukul 6.45 petang sebelum mengesan pergerakan sebuah lori jenis Isuzu tiga tan berhampiran kawasan tersebut.
Menurutnya, hasil pemantauan UAV itu
turut mendedahkan sebanyak 20 ekor lembu dari Thailand sedang menunggu masa untuk diseludup masuk ke negara ini melalui Sungai Golok.
“Semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki dipercayai warga tempatan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai 20 ekor lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand di bahagian muatan lori itu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua haiwan tersebut tiada sebarang dokumen perjalanan atau permit import yang sah.
Katanya, keseluruhan rampasan termasuk lori yang ditinggalkan oleh suspek dianggarkan bernilai RM225,000
“Laporan polis berkaitan rampasan haiwan ternakan telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol di sini. Kesemua rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan dekat Bukit Bunga,” katanya. – KOSMO! ONLINE














