SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam tindakan biadab pihak yang memuat naik suntingan imej Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam keadaan berpakaian tidak sopan.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, hantaran yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook (FB), Lucas Liam itu disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
Tegas beliau, pihaknya turut menyelar tindakan menyunting dan menyebar imej mengaibkan Sultan Selangor yang dikaitkan dengan pemilik akaun FB Huayan The Pure Learning Centre sebelum ini.
“MAIS percaya tindakan itu dibuat dengan sengaja bagi melukakan perasaan umat Islam di Selangor.
“Hantaran itu jelas tidak menghormati kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor kerana mengaitkan dengan objek dan visual yang jelas haram mengikut perspektif hukum syarak,” katanya hari ini.
Menurut Salehuddin, visual yang dihantar jelas melampaui norma masyarakat yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menimbulkan perpecahan kaum di negara ini.
“Jenayah ini perlu disiasat segera oleh pihak berwajib agar pelakunya dapat diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman setimpal,” ujarnya.
Tambah beliau, institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. – KOSMO! ONLINE













