fbpx
Anwar ketika beramah mesra bersama pengunjung yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Kerajaan Madani lebih lantang, tegas perkukuh agenda bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan kepentingan Bumiputera, sebaliknya terus memperkukuh agenda pemerkasaan golongan itu secara lebih lantang, tegas dan berani berbanding sebelum ini.

Anwar berkata, sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, tidak ada ruang bagi fahaman elitisme yang meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sesetengah pihak.

Tegasnya, prinsip utama kerajaan adalah memastikan keadilan sosial dilaksanakan secara saksama dengan memberi peluang lebih besar kepada masyarakat yang terpinggir, tanpa menafikan hak kaum lain.

“Sebab itu dalam gagasan kita, saya nak sebut dalam Kerajaan Madani, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitisme semata-mata atau meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebahagian orang.

“Malah saya nak tekankan, saksinya Datuk Seri Zahid Hamidi, tiga tahun Kerajaan Madani, program Bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerangka pemikiran besar kerajaan, Anwar berkata sokongan terhadap aspek kecemerlangan (merit) tidak bermakna peluang untuk Bumiputera dikurangkan.

Beliau memberi contoh keputusan kerajaan baru-baru ini yang memberikan tempat automatik di universiti kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas, tanpa mengira latar belakang.

“Tetapi dalam masa yang sama 90 peratus anak bumiputera itu diberikan kesempatan untuk program matrikulasi. Jadi jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu (aspek) sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menegur segelintir pihak termasuk golongan profesor dan akademik yang disifatkan tidak berlaku adil apabila hanya menonjolkan sebahagian fakta berhubung kuota pendidikan sehingga mencetuskan persepsi mengelirukan.

Beliau mengingatkan bahawa Program Matrikulasi pada asalnya diwujudkan 100 peratus untuk Bumiputera, sebelum kerajaan membuka ruang 10 peratus bagi membantu anak-anak bukan Melayu yang miskin dan terpinggir.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak agar melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak mencetuskan persepsi ‘zero-sum game’ yang boleh menjejaskan keharmonian negara.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN