fbpx
ENGGAN lagi dibelenggu episod silam, pelakon ini mahu menjenamakan semula dirinya menjadi IQ Dinzly, simbolik kelahiran semula dirinya untuk hidup normal tanpa dikaitkan kegilaan lebih sedekad lalu.

‘Semadikan Iqram, beradaptasilah dengan IQ Dinzly’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“CUKUPLAH 20 tahun nama Iqram Dinzly digunakan secara komersial, terlalu berat untuk saya kendong sehingga hari ini.”

Itu yang dituturkan pelakon berusia 45 tahun berkenaan ketika ditanya mengenai keberadaannya selepas menyepi dari dunia drama dan layar lebar sejak beberapa tahun lalu.

Enggan lagi dibelenggu dengan kisah silam yang penuh kepahitan, kegelapan dan kekecewaan, pemilik nama penuh Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin itu tidak lagi mahu orang ramai menggunakan nama tersebut pada masa akan datang.

Baginya, segala memori dan kenangan sepanjang tempoh dikenali sebagai Iqram Dinzly akan disimpan indah dalam kotak ingatannya.

“Kemunculan saya ini bukan ‘comeback’ tetapi mahu menyatakan tidak lagi mahu nama Iqram Dinzly digunakan dalam mana-mana platform media atau pihak lain.

“Saya haramkan untuk guna nama tersebut dan mahu biarkan semua hal lalu yang berkait ditinggalkan jauh dan menjadi sejarah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dedahnya, nama tersebut terlalu berat untuk dibawanya sehingga ke hari ini bahkan enggan lagi dibayangi dengan imej Iqram Dinzly.

“Sangat membebankan untuk saya memikul nama tersebut, namun syukur kerana itu antara salah satu daripada nama Allah dan berat kalau membawanya lagi.

“Tiada penyesalan pun nak lenyapkan nama tersebut dan biarlah jadi satu kenangan terindah buat para peminat yang selama ini menyokong.

Dia yang popular dengan drama Dunia Baru itu juga tidak termakan dek pujuk bahkan berterima kasih kepada semua pihak khususnya peminat kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagia kepadanya sepanjang tempoh dua dekad ini.

MERANCANG bisnes untuk jaminan masa depan, IQ Dinzly juga akan menjalani penggambaran untuk sebuah filem baharu tidak lama lagi. – SHIDDIEQIIN ZON

“Letaklah nama tersebut dalam kenangan. Cukup-cukuplah saya menanggung menjadi Iqram Dinzly yang orang label sebagai gila.

“Saya bukan penat tetapi lebih kepada rasa nak tampar setiap seorang yang lempar tuduhan begitu.

“Sudah tahun 2026 ini, kita semadikanlah nama Iqram Dinzly itu,” jelasnya.

Selepas mencetuskan kekecohan dengan imej sebagai Prince Chiki Dinzly dengan karakter dikatakan aneh dan sering menggila dengan cara tersendiri, Iqram berkata dia kini mahu dikenali sebagai IQ Dinzly yang diwujudkan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, dalam tidak sedar, sudah sedekad karakter Prince Chiki Dinzly wujud dan masih dikecam netizen sehingga hari ini.

“Kalau tengok karakter Prince Chiki Dinzly, dia adalah realiti seni yang wujud dalam media sosial seperti TikTok dan Instagram.

“Sementara, IQ Dinzly pula kombinasi Iqram dan Prince Chiki Dinzly untuk memahamkan masyarakat zaman sekarang yang terlalu cerdik pandai otaknya.

“Sekarang, beradaptasilah dengan IQ Dinzly yang juga akan muncul dengan bisnes tidak lama lagi,” jelasnya.

ANAK kelahiran Ipoh, Perak ini muak dilabel individu tidak waras terutama selepas dia dilihat melakukan beberapa watak aneh.

Fitnah

Mungkin bukan pertama kali menjawab, namun dia masih mahu menjelaskan dakwaan ramai mengenai perubahan hidupnya sejak sedekad lalu adalah disebabkan putus cinta dengan beberapa selebriti wanita popular tanah air.

“Fitnah yang ditabur terhadap saya terlalu banyak tetapi tetap memilih mendiamkan diri tidak melawan.

“Paling tak adil bila orang cakap saya berubah kerana kecewa akibat putus cinta dan sebagainya. Semua dakwaan tersebut tidak benar!” tegasnya.

Muak kerap menjadi mangsa fitnah khalayak, graduan jurusan Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu belum terbuka hati untuk memaafkan setiap individu yang menabur cerita tidak betul mengenai dirinya.

“Saya tak akan ampunkan kepada sesiapa yang buat fitnah sebegitu.

“Sampai sekarang masih ada yang cakap macam-macam mengenai saya.

“Tidak akan maafkan sekarang tetapi apabila nak mati nanti, baru saya ampunkan sebab tak mahu orang mencari-cari saya dalam keadaan merangkak di Padang Mahsyar nanti,” jelasnya.

IQ Dinzly tidak menafikan apa yang berlaku kepadanya, perubahan dan ujian yang dilalui selama ini ada kaitan dengan penyakit ain.

Industri

Selain dituduh gila, dia tidak menolak kemungkinan setiap perubahan yang dilalui hari ini adalah disebabkan penyakit ain ketika zaman kegemilangannya dahulu.

Dia bagaimanapun enggan berprasangka buruk terhadap mana-mana pihak, namun tidak menafikan wujud ‘permainan kotor’ dalam dunia seni tanah air.

“Saya tak tahulah sama ada orang bomoh atau ‘mandrem’ saya tetapi kemungkinan itu ada.

“Kalau ikutkan, saya memang tak percayakan sihir atau hal-hal mistik tetapi lama-kelamaan mula terfikir sama ada pernah melakukan sebarang kesalahan sebab semua benda rasa tak kena.

“Kemudian saya pergi berubat dan individu tersebut tanya kenapa lambat sangat datang sebab katanya saya hampir mati,” kongsinya.

Jelasnya, dia tidak berasakan perkara tersebut adalah hal yang serius pada ketika itu kerana kehidupannya berjalan normal seperti biasa.

“Saya tak rasa pula macam hampir nak mati sebab konsep hidup saya, selagi boleh sedar dan bangun pagi, alhamdulillah masih bernyawa.

“Namun, saya tidak letakkan perubahan yang berlaku pada diri ketika itu disebabkan sihir tetapi mungkin penyakit ain.

“Sebab mungkin ketika itu tawaran drama tidak berhenti, acara pula macam-macam jenis saya hadir.

“Cuma saya tak mahu tuduh atau mengata tetapi hakikatnya persaingan memang wujud dalam industri.

“Mungkin ada yang persoal mengapa dia tak dapat sama seperti saya miliki, itu pun boleh jadi penyakit ain juga,” akhirinya.

MAHU melupakan masa lalu, IQ nekad ‘mematikan’ imej Iqram Dinzly yang dibawanya sejak 20 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN