SELEPAS sekadar menjadi naib juara Kumpulan B, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tetap menaruh keyakinan Malaysia masih mampu untuk mencapai sasaran menjadi juara Piala Thomas 2026.
Pasukan negara terpaksa akur melangkah ke pusingan suku akhir sebagai naib juara kumpulan selepas tewas 2-3 kepada Jepun pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Forum Horsens, Denmark kelmarin.
Walaupun dijangka berdepan laluan lebih sukar, namun Zii Jia percaya Malaysia tetap ada peluang menjadi juara sekiranya semua pemain menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu kami tetap ada peluang untuk memenangi Piala Thomas, tetapi seperti yang saya cakap sebelum ini, saya tidak mahu meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Saya hanya perlu melaksanakan tugas sebagai perseorangan ketiga.
“Selain itu bergantung kepada pemain-pemain lain, iaitu rakan sepasukan saya. Saya ada keyakinan itu biarpun mereka tewas sebelum ini kerana percaya mereka akan bangkit lebih kuat,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada perlawanan menentang Jepun kelmarin, Zii Jia yang juga bekas juara Asia dan All England akhirnya berjaya mencatat kemenangan sulung ke atas Koki Watanabe selepas empat pertemuan apabila menang 21-13, 21-19.
Selain Zii Jia, satu lagi mata pasukan negara disumbangkan gandingan Aaron Chia-Tee Kai Wun yang dipaksa ‘bermandi peluh’ sebelum menang 16-21, 21-14, 21-19 ke atas Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi.
Tambah bekas pemain No.2 dunia itu, keyakinannya sudah semakin bertambah dalam setiap perlawanan, lebih-lebih lagi turun sebagai pemain kelima negara yang mungkin menghadiahkan mata kemenangan Malaysia.
“Bagi saya, ia adalah masa yang sangat sesuai (menjadi perseorangan ketiga) kerana itulah keyakinan yang diperlukan sekarang. Buat masa ini, momentum itu sangat baik,” ujar pemain berusia 28 tahun itu.














