MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun hanyut dibawa arus deras selepas dikatakan terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Heights, di sini, lewat petang tadi.
Menurut ibu kepada salah seorang saksi, Nor Hafizah Johari, 34, sebelum kejadian anaknya yang berusia 10 tahun keluar bersama mangsa, adiknya serta beberapa rakan lain untuk bermain basikal di kawasan berhampiran.
Katanya, tidak lama kemudian anaknya pulang dalam keadaan panik memaklumkan mangsa yang dikenali sebagai Loqman telah terjatuh ke dalam longkang.
“Anak saya pulang kira-kira pukul 5.50 petang beritahu Loqman terjatuh ke dalam longkang sebelum hanyut dibawa arus deras akibat hujan lebat.
“Saya terus menyuruh anak saya mendapatkan bantuan daripada orang di padang berhampiran dan pada masa sama meminta jiran menghubungi talian kecemasan kerana saya panik hingga terlupa nombor 999,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 5.53 petang daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Melaka.
Menurutnya, sepasukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki telah dibawa arus hingga ke sungai berhampiran.
“Pasukan yang menjalankan pencarian di permukaan air kemudian menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jarak kira-kira enam meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.-KOSMO! ONLINE.














