PENDANG – Kejadian ribut yang melanda Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang petang tadi tidak melibatkan sebarang kecederaan dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah menerima laporan mengenai kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda MRSM itu petang tadi.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan melibatkan pelajar.
“Saya telah mengarahkan pihak maktab untuk terus melakukan pemantauan serta pemeriksaan berkala bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.
Menurutnya, beliau dimaklumkan blok asrama, surau, blok akademik serta dewan makan tidak terjejas dan bekalan elektrik masih berfungsi seperti biasa.
“Namun, blok pentadbiran mengalami kerosakan agak teruk melibatkan bilik guru, dewan kuliah, makmal komputer, bilik kaunselor serta bilik pendidikan seni dengan bekalan elektrik di blok tersebut terputus,” ujarnya.
Tambahnya, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat.
“Peruntukan Khas Darurat juga akan disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
“Keselamatan dan kebajikan pelajar serta guru sentiasa menjadi keutamaan dan saya akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan MRSM Pendang antara bangunan yang terjejas teruk akibat dibadai ribut petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, sekurang-kurangnya 60 rumah dan premis di beberapa daerah di negeri ini dilaporkan rosak.
Jumlah sebenar rumah dan bangunan terjejas masih belum dapat dipastikan.
Di Pendang, antara kawasan terlibat ialah Kampung Gajah Mati, Kampung Lampam, Kampung Bukit Sagor, Sungai Jagung, Seberang Pendang, RTP Paya Mak Insun dan Lahar Batu. – KOSMO! ONLINE














