JOHOR BAHRU – Projek menaik taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru yang bakal menjadi pusat penjagaan warga emas moden kini mencatatkan kemajuan sekitar 38 hingga 39 peratus setakat ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, projek bernilai RM57.4 juta itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan projek berkenaan telah bermula pada 26 Jun 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada 5 Julai 2027.
“JKR yakin, kontraktor yang dilantik, Sakiza Indah, mampu mengejar semula kemajuan kerja bagi memastikan projek tersebut siap mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Apabila siap kelak, Rumah Seri Kenangan ini akan menjadi antara fasiliti penjagaan warga emas paling moden di Johor dan juga di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat Projek Menaik Taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, di sini hari ini.
Tambah beliau, kompleks berkenaan akan menyediakan kemudahan lengkap termasuk blok pentadbiran, asrama, klinik, lobi, rumah jagaan serta blok sokongan yang mampu menempatkan seramai 260 penghuni melibatkan 130 lelaki dan 130 wanita.
Selain itu, Ahmad berkata, pembinaan kuarters Kelas D dan bangunan kediaman setinggi 10 tingkat turut dirancang bagi menempatkan kakitangan serta menyokong operasi fasiliti tersebut.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan kebajikan khususnya kepada golongan warga emas yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya.
Beliau menambah, dengan kemajuan semasa yang positif, projek Rumah Seri Kenangan Johor Bahru dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027 dan bakal menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan fasiliti kebajikan di negara ini. – KOSMO! ONLINE














