PUTRAJAYA – Sekumpulan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan membawa pulang gajah milik negara iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun ekoran didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran di sana.
Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Datuk Dr. Kalaivanar berkata, susulan itu, satu memorandum diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menuntut tindakan segera kerajaan berhubung perkara itu.
“Kita beri tempoh tiga hari kepada pihak kementerian untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang akan diambil. Apa yang kita mahu adalah gajah-gajah ini dibawa pulang segera kerana kita percaya ia sedang dianiaya dan tidak mendapat kebajikan sewajarnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, NGO terlibat juga menegaskan mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan politik, sebaliknya bertindak atas dasar kebajikan haiwan dan kepentingan negara.
Dalam pada itu, antara aktivis persendirian yang hadir, Ezuana Mamat, 50, mendakwa lokasi penempatan gajah berkenaan di luar negara tidak sesuai daripada segi cuaca dan persekitaran, sekali gus menjejaskan kesihatan haiwan terbabit.
“Berdasarkan pemerhatian, terdapat kecederaan pada kaki gajah dan ia dipercayai berpunca daripada tekanan serta kaedah kawalan yang tidak sesuai. Kita tidak mahu keadaan ini berterusan kerana gajah juga makhluk hidup yang mempunyai perasaan dan boleh mengalami stress,” katanya.
Tambahnya, dakwaan bahawa penghantaran gajah tersebut bertujuan konservasi, pembiakan dan penyelidikan juga dipersoalkan kerana rekod pembiakan di lokasi berkenaan didakwa tidak memberangsangkan.
“Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian kami, usaha pembiakan di Jepun bukanlah sesuatu yang mudah dicapai kerana rekod kejayaannya mengambil tempoh yang sangat lama,” katanya.
Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan mempertimbangkan secara serius tuntutan berkenaan demi memastikan kebajikan haiwan tersebut terus terpelihara.
Terdahulu, pemindahan tiga ekor gajah Malaysia pada Mac lalu itu menimbulkan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan aktivis serta pencinta haiwan. – KOSMO! ONLINE














