fbpx
SPIA ketika menjayakan aktiviti penangkapan ikan bandaraya di Hulu Langat, Selangor.

Skuad pemburu ikan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Haziq melihat peluang di sebalik masalah. Daripada rasa jengkel, timbul persoalan, bagaimana jika spesies ikan pendatang ini dapat dimanfaatkan?

Dari situlah lahirnya idea untuk membentuk komuniti yang bukan sekadar memburu, tetapi menguruskan populasi ikan bandaraya secara lebih beretika.

Sebelum dikenali secara rasmi, gerakan ini bermula sebagai Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) sekitar tahun 2022. Fokus utama ketika itu adalah memburu spesies invasif seperti Hypostomus plecostomus yang semakin mendominasi sistem sungai di Malaysia.

Aktiviti dijalankan secara kecil-kecilan, dan kebanyakannya di sekitar Kuala Lumpur seperti kawasan longkang dan sungai berhampiran Sogo serta Bukit Jalil.

Perubahan besar berlaku apabila eksperimen menggunakan telur ikan bandaraya sebagai umpan membuahkan hasil luar biasa. Tangkapan ikan lain seperti keli Afrika bersaiz besar membuka mata ramai pemancing. Dari situ, permintaan terhadap telur ikan bandaraya mula meningkat, sekali gus mencetuskan dimensi ekonomi dalam komuniti ini.

Namun perjalanan mereka tidak sentiasa mudah untuk mendapatkan hasil yang berkualiti. Mereka terpaksa menangkap ratusan kilogram ikan setiap kali turun ke lapangan.

Proses men­yiang pula mencabar, dengan risiko kecederaan dan kerosakan hasil yang tinggi.

Di situlah terletaknya semangat komuniti, kerja dikongsi bersama. Lebih menarik, aktiviti ini turut menjadi platform kekeluargaan. Anak-anak turut serta dan belajar tentang alam sekitar sambil mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.

Sungai bukan lagi sekadar lokasi memancing tetapi ruang komuniti yang hidup.

Namun dalam keghairahan itu, kesedaran terhadap risiko ekosistem tetap menjadi keutamaan. Komuniti ini mengambil langkah tegas dengan menghentikan penggunaan telur dari sarang selepas menyedari potensi pembiakan yang tidak terkawal. Pendekatan ini menunjukkan kematangan mereka dalam mengimbangi antara eksploitasi dan pemuliharaan.

Seiring perkembangan, komuniti ini akhirnya didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persatuan Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) pada 30 Oktober 2024 di bawah Jabatan Pendaf­taran Pertubuhan Malaysia.

Penubuhan ini menandakan peralihan daripada gerakan komuniti kepada organisasi yang lebih tersusun dan berstruktur.

Haziq (kanan) ketika bersama-sama ahli SPIA memburu ikan bandaraya.

SPIA kini memberi tumpuan kepada pengawalan dan pengurangan populasi spesies ikan asing invasif di perairan negara.

Usaha mereka turut mendapat kerjasama teknikal daripada Jabatan Perikanan Malaysia serta Jabatan Perikanan negeri, khususnya dalam pelaksanaan program berkaitan pengurusan spesies invasif.

Hasilnya cukup membanggakan. Dari akhir 2023 hingga Disember 2025, SPIA berjaya merekodkan tangkapan sebanyak 75 tan ikan bandaraya di Semenanjung Malaysia.

Satu angka yang bukan sahaja signifikan dari sudut kuantiti, tetapi impaknya terhadap ekosistem sungai.

Bergerak jauh
Pada Mei tahun lalu, SPIA melangkah lebih jauh dengan bekerjasama dalam Program Pemburuan Ikan Asing Invasif (IAS) Seluruh Malaysia.

Program ini dirancang sebagai inisiatif tahunan bagi menyelaras usaha antara komuniti dan agensi kerajaan dalam menangani penyebaran spesies invasif secara sistematik.

Melalui program ini, pendekatan yang lebih saintifik dan tersusun diperkenalkan. Data tangkapan direkod, lokasi dikenal pasti dan strategi pengawalan dirangka secara bersepadu.

Ia bukan lagi sekadar aktiviti komuniti tetapi sebahagian daripada usaha nasional dalam pemuliharaan sumber.

Sokongan daripada institusi akademik turut mengukuhkan lagi kredibiliti SPIA.

Kajian berkaitan ikan bandaraya semakin berkembang, membuka ruang kepada inovasi dalam pengurusan spesies invasif serta potensi komersialnya.

Apa yang menarik, perjalanan SPIA membuktikan bahawa perubahan besar boleh bermula dari perkara kecil. Dari longkang-longkang di ibu kota yang dipenuhi ikan tidak diingini, lahirlah satu gerakan kian memberi impak kepada ekosistem, ekonomi dan masyarakat.

Dalam dunia memancing, ikan bandaraya tidak pernah menjadi kebanggaan.

Namun bagi SPIA, ia adalah simbol perjuangan, melawan pencemaran, memulihkan ke­seimbangan alam dan mencipta peluang daripada sesuatu yang dipandang rendah.

Akhirnya, SPIA bukan sekadar ‘pemburu’, sebaliknya mereka adalah penjaga sungai dan penggerak komuniti.

Malah mereka menjadi bukti bahawa di sebalik sesuatu yang dianggap masalah, tersimpan potensi luar biasa, jika berani melihatnya dari sudut berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN