KAMPAR – Aktiviti penyelewengan diesel berjaya ditumpaskan apabila 1,000 liter bahan api itu disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah stesen minyak di Kampar semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu susulan risikan berhubung kegiatan penyelewengan minyak diesel yang dipercayai diperoleh daripada beberapa stesen minyak di kawasan sekitar.
“Hasil pemantauan selama seminggu telah membawa kepada penemuan sebuah lori kargo tiga tan jenis Canter yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini.
“Siasatan mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 3,000 liter yang diletakkan di bahagian muatan bagi tujuan mengumpul diesel,” katanya di Kampar hari ini.
Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi pada waktu lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi mereka melibatkan pembelian dan pemindahan diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai yang kemudian dijual semula kepada pihak industri di pasaran gelap. Seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun yang merupakan pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita 1,000 liter diesel, sebuah lori tiga tan jenis Canter, tiga unit tangki IBC, satu unit pam, satu set hos serta satu resit pembelian diesel. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM49,370. – KOSMO! ONLINE














