IPOH – Tiga ekor gajah yang dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun pada Mac lalu kekal milik Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) tanpa sebarang pemindahan hak milik atau urus niaga komersial.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pemindahan Dara, Amoi dan Kelat itu merupakan sebahagian daripada kerjasama rasmi antara ZTNS dan Zoo Tennoji di bawah konsep ‘sister zoo’.
Katanya, kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan, perkongsian kepakaran dan peningkatan standard penjagaan haiwan.
“Kerjasama seperti ini merupakan amalan biasa di peringkat antarabangsa. Dalam konteks konservasi, penempatan dan pertukaran haiwan dilaksanakan berdasarkan kesesuaian fasiliti, kepakaran dan keperluan jangka panjang sesuatu spesies.
“Apa yang penting ialah kebajikan haiwan tersebut sentiasa terpelihara melalui sistem yang jelas dan dipatuhi,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Sandrea berkata, proses pemindahan tiga ekor gajah itu telah dirancang sejak 2021 dan dilaksanakan melalui pelbagai peringkat kelulusan.
Beliau berkata, ia termasuk kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), permit eksport dan pengesahan di bawah CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) oleh Malaysia dan Jepun.
Selain itu katanya, pelaksanaan itu juga selaras dengan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) serta tertakluk kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Katanya, pihak zoo di Osaka juga perlu mengemukakan laporan berkala dan keseluruhan pelaksanaan dipantau melalui mekanisme bersama.
“Berhubung isu-isu yang dibangkitkan, termasuk perkara-perkara teknikal berkaitan pengurusan gajah, semuanya dilaksanakan berdasarkan penilaian veterinar, keperluan fisiologi haiwan serta garis panduan pemuliharaan yang ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














