MESKIPUN memulakan musim dengan langkah kanan, dua pelari negara, Umar Osman dan Shereen Samson Vallabouy memilih untuk tidak terlalu selesa apabila mengakui masih banyak ruang perlu diperbaiki selepas mengungguli acara 400 meter (m) di Kejohanan Terbuka Singapura, kelmarin.
Umar yang menjuarai kategori lelaki tampil dengan catatan masa 47.14 saat (s), namun menganggap kemenangan itu belum mencerminkan tahap sebenar prestasinya.
“Alhamdulillah, saya dapat nombor satu hari ini dan saya sangat bersyukur. Tapi dari segi catatan masa, saya masih perlu banyak memperbaiki,” katanya.
Menurutnya, kejohanan tersebut hanyalah pembuka tirai musim dan dia tidak meletakkan sebarang tekanan tinggi terhadap diri sendiri.
“Ini adalah perlumbaan pertama musim ini, jadi saya tidak meletakkan jangkaan tinggi. Saya terima saja keputusan hari ini dan insya-Allah akan buat yang lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Umar menyifatkan kemenangan tersebut sebagai langkah awal yang positif untuk membina momentum menjelang kejohanan seterusnya.
Sementara itu, Shereen turut mempamerkan dominasi dalam acara wanita dengan catatan 54.24s, namun senada dengan Umar apabila mengakui masih belum mencapai tahap terbaiknya.
“Ini permulaan yang baik buat saya, namun saya perlu berusaha lebih gigih untuk memberikan persembahan yang lebih baik musim ini,” katanya.














