PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket eksploitasi tenaga kerja melibatkan pembantu rumah asing (PRA) yang dikendalikan dua kumpulan dikenali sebagai ‘Ibu Maznah’ dan ‘Ibu Nancy’ menerusi satu Operasi Khas di sekitar Lembah Klang, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pukul 11 pagi itu melibatkan serbuan di 11 lokasi termasuk Telok Panglima Garang, Jenjarom, Kajang, Bukit OUG, Shah Alam, Gombak, Cheras, Batu Caves serta tiga lokasi di Seri Kembangan.
Menurut beliau, operasi yang dijalankan hasil risikan selama sebulan itu berjaya menyelamatkan lapan wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sebagai pembantu rumah.
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menyelamatkan empat wanita warga Indonesia serta menahan dua perempuan warga tempatan yang dipercayai sebagai ejen haram merupakan ibu dan anak yang dikenali sebagai ‘Ibu Maznah’.
“Serbuan kedua, pasukan operasi berjaya menyelamatkan lagi empat wanita warga Indonesia dan menahan dua lelaki warga Yaman serta dua wanita warga Indonesia yang dipercayai sebagai ejen haram dikenali sebagai ‘Ibu Nancy’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sindiket ini dipercayai membekalkan dan mengeksploitasi perempuan warganegara Indonesia dengan bekerja sebagai PRA.
Tambah beliau, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ bagi membawa mangsa ke lokasi tertentu.
Dalam operasi sama, Zakaria berkata, pemeriksaan di beberapa lokasi lain turut membawa kepada penahanan 18 warga Indonesia terdiri daripada 10 lelaki dan lapan wanita kerana tidak memiliki pas sah.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan pekerjaan kepada warganegara Indonesia yang tidak mempunyai Pas yang sah untuk bekerja di negara ini.
“Sindiket juga dipercayai memperdaya majikan untuk menguruskan pekerja yang dibekalkan bagi mendapatkan Pas untuk bekerja di negara ini,” ujarnya.
Menurut beliau, sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 bagi setiap pembantu rumah dan dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.
Dalam serbuan tersebut, katanya, pihaknya turut merampas 21 pasport Indonesia, tujuh telefon bimbit, dokumen perjanjian serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
“Kesemua ejen haram disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala seorang wanita tempatan turut disiasat di bawah Akta Pasport 1966,” jelasnya.
“Seramai 18 warga asing pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan, manakala beberapa individu tempatan telah diberikan notis untuk hadir membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














