MANILA – Filipina hari ini menuduh nelayan China menuang racun sianida di perairan Kepulauan Spratly yang menjadi lokasi konfrontasi ganas dengan kapal-kapal Beijing.
Beijing menuntut keseluruhan Laut China Selatan meskipun mahkamah antarabangsa memutuskan tuntutan tersebut tiada asas undang-undang.
Majlis Keselamatan Negara Filipina (NSC) mendakwa, perbuatan itu bermula tahun lalu di sekitar Terumbu Thomas Kedua, Kepulauan Spratly yang terletak berhampiran laluan perkapalan penting dan dikatakan kaya dengan mineral.
“Penggunaan sianida di Terumbu Ayungin (Terumbu Thomas Kedua) adalah satu bentuk sabotaj bertujuan untuk membunuh populasi ikan tempatan sekali gus memusnahkan sumber makanan kepada Tentera Laut Filipina,” kata penolong ketua pengarah NSC, Cornelio Valencia.
Tindakan itu juga mengancam anggota tentera melalui pendedahan kepada air tercemar, makan ikan beracun dan menghakis terumbu karang, tambahnya.
Manila dan Beijing mempunyai sejarah panjang pertikaian wilayah maritim di laluan air tuntutan bertindih itu, termasuk pertembungan ganas pada Jun 2024 di mana anggota-anggota Pengawal Pantai China bersenjatakan pisau, kayu dan kapak menaiki bot Tentera Laut Filipina.
Valencia berkata, Manila telah membangkitkan dakwaan racun itu dengan Beijing pada mesyuarat baru-baru ini tetapi belum menerima sebarang jawapan rasmi.
Valencia berkata, kerosakan terumbu karang akibat sianida juga boleh menjejaskan asas struktur BRP Sierra Madre iaitu kapal perang era Perang Dunia Kedua di mana tentera Filipina ditempatkan.
Manila sengaja mendaratkan kapal itu di sebuah beting pada tahun 1999 untuk menegaskan tuntutannya ke atas Kepulauan Spratly. – AFP














