LENGGONG – Rangka Perak Woman yang merupakan rangka manusia wanita yang dipercayai wujud sejak lebih 8,000 tahun lalu diharap dapat dibawa pulang ke tempat asalnya di Lenggong dalam usaha untuk memperkasa nilai warisan negara.
Ahli Parlimen Lenggong yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu diharap dapat menjadi tarikan pelancongan di kawasan cukup yang terkenal dengan khazanah arkeologi bertaraf dunia.
“Sebelum ini, terdapat usaha sama telah dilakukan untuk membawa pulang rangka Perak Man yang berusia ke Lenggong yang terbukti memberi impak positif kepada sektor pelancongan setempat. Alhamdulillah, hari ini Perak Man telah ada di sini dan orang ramai boleh datang untuk mengunjunginya.
“Kita berharap Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan bawa balik Perak Woman. Saya difahamkan (Perak Woman) disimpan di tempat lain, jadi, bila dibawa balik sini, boleh dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan dapat meningkatkan kehadiran pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Pelancaran Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia Malaysia di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong hari ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Katanya, penempatan semula rangka asal Perak Man di Lenggong menunjukkan terdapat peningkatan jumlah pelancong yang agak signifikan.
Terdahulu, rangka asal Perak Man, iaitu rangka manusia berusia sekitar 11,000 tahun yang ditemui pada 1991 telah dibawa pulang ke Lenggong pada Julai 2025 dan kini dipamerkan di Muzium Arkeologi Lembah Lenggong selepas disimpan di Muzium Negara sejak 2021.
Sementara itu, rangka Perak Woman yang berusia kira-kira 8,000 tahun pula ditemui pada 2004 di Gua Teluk Kelawar, Lenggong dengan wanita tersebut dipercayai telah meninggal dunia pada usia sekitar 40-an yang mempunyai ketinggian kira-kira 148 sentimeter. – KOSMO! ONLINE














