JAKARTA – Sekumpulan pekerja kurier di Indonesia mengundang perhatian pengguna media sosial apabila dirakam mengejar bungkusan berisi seekor biawak hidup yang melarikan diri, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video kejadian dikongsi di platform Threads oleh akaun @makasar_info menunjukkan beberapa pekerja cuba menangkap reptilia itu yang dipesan oleh pelanggan.
Ada antara mereka yang lari bertempiaran kerana ketakutan.
Mereka juga terpaksa menggunakan peralatan sedia ada dan tangan kosong untuk menangkap biawak.
Rakaman tersebut mencatatkan lebih 9,200 tanda suka dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Siapa pesan biawak dalam online?” kata seorang netizen.
“Status bungkusan: bungkusan larikan diri,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














