SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti riadah di Terusan Sungai Dua, Kepala Batas di sini, petang tadi.
Mayat mangsa dijumpai pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh, kira-kira pukul 5.47 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mangsa terjatuh sungai pada pukul 5.03 petang dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bertam dengan bantuan BBP Kepala Batas.
“Mangsa ditemukan meninggal dunia pada jarak dua kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya di sini, tadi. -KOSMO! ONLINE














