fbpx
SERAMAI 70 orang penghuni yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan kanak-kanak tinggal di RTK, Titiwangsa, Kuala Lumpur yang diusahakan oleh Sharifah Adlan atau Mak Pah.

‘Ikut logik memang tidak cukup, tetapi ada sahaja rezeki yang datang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kehidupan, tidak semua orang dilahirkan dengan keberuntungan dan dibesarkan dalam keluarga yang penuh kasih sayang.

Ada kanak-kanak yang memiliki jalan hidup sedikit berbeza dan membesar tanpa kasih sayang ibu bapa.

Namun, dunia tidak terlalu kejam buat anak-anak ini kerana ada insan yang masih ambil peduli akan mereka.

Rumah Titian Kaseh (RTK), Titiwangsa, Kuala Lumpur merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cakna dengan nasib insan yang kurang bernasib baik dengan menyediakan tempat untuk mereka berlindung.

Pengasasnya, Sharifah Adlan berkata, setelah hampir tiga dekad, RTK kini mempunyai hampir 70 orang penghuni.

Menurutnya, mereka yang tinggal di situ terdiri daripada ibu tunggal, warga emas serta kanak-kanak termasuk anak yatim, anak asnaf dan anak terbiar.

“Kebanyakan penghuni di sini merupakan kanak-kanak, manakala selebihnya adalah ibu tunggal dan warga emas.

“Sebahagian kanak-kanak dihantar di sini adalah melalui rujukan pihak berkuasa yang melibatkan pelbagai kes,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mak Pah.

Tambahnya, kanak-kanak yang tinggal di RTK akan dibesarkan, disekolahkan dan dibimbing sehingga mampu berdikari sendiri.

SEBAHAGIAN sumbangan yang diberikan oleh orang ramai kepada RTK.

Menariknya, setiap kali tibanya Syawal, kanak-kanak di RTK pasti terkesan kerana merindui keluarga masing-masing.

Pun begitu mereka tetap meraikan hari yang penuh dengan kegembiraan itu di RTK bersama penghuni-penghuni lain.

Menurut Mak Pah, meskipun tidak meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, namun sambutan di RTK cukup meriah.

Menurutnya, setiap kali Ramadan dan Syawal menjelma, RTK menjadi lebih meriah berbanding bulan-bulan lain.

“Sumbangan datang mencurah-curah, jemputan berbuka puasa dan rumah terbuka tidak putus. Malah, anak-anak di sini sering dijemput untuk membuat persembahan.

“Ada anak-anak yang dijemput pulang oleh waris mereka untuk beraya bersama. Namun, bagi kanak-kanak yang sudah tiada keluarga, rumah ini menjadi tempat untuk beraya.

“Di sini, suasana penuh dengan rasa kebersamaan. Kalau dia tak ada emak, kawan dia pun tak ada emak, semuanya sama dan mereka tidak rasa kekurangan itu,” katanya.

Budaya kesamarataan sangat ditekankan di RTK, maka tiada ruang untuk dengki atau perbandingan antara satu sama lain.

MAK PAH (tengah) bergambar bersama anak-anak penghuni RTK.

Dalam pada itu, Mak Pah menjelaskan, menguruskan RTK bukan sekadar menyediakan makan dan tempat tinggal kepada golongan kurang bernasib baik.

Katanya, cabaran terbesar adalah untuk membentuk disiplin dan nilai-nilai mulia dalam diri kanak-kanak yang tinggal di situ.

Dia memaklumkan, setiap anak-anak di situ diwajibkan bersekolah dan mereka akan dibimbing untuk menyambung pelajaran atau mengikuti latihan kemahiran mengikut minat masing-masing.

Mah Pah memberitahu, ramai anak-anak yang keluar dari RTK menjadi individu berdikari, bekerjaya dan mampu membina kehidupan mereka sendiri.

“Kebiasaannya pada hari raya kedua dan ketiga, saya tidak boleh ke mana-mana.

“Ini kerana, ada anak-anak yang dahulunya tinggal di RTK akan datang beraya di sini bersama keluarga masing-masing,” ujar Mak Pah.

Sementara itu, Mak Pah memberitahu, dia berhadapan dengan cabaran tersendiri bagi menguruskan RTK kerana kos pengurusan yang semakin tinggi.

Namun, sejak beroperasi pada tahun 1998, dia jarang berhadapan dengan situasi terputus bekalan makanan.

“Kalau ikut logik memang rasa tidak cukup, tetapi ada saja rezeki datang.

“Rakyat Malaysia ini pemurah kerana mereka sering berkongsi rezeki dengan kami,” jelasnya dengan penuh kesyukuran.

Selain sumbangan daripada orang ramai, RTK turut menjana pendapatan sendiri melalui penjualan produk seperti biskut cip coklat, kuih raya, bawang goreng dan lain-lain lagi.

Malah, produk RTK seperti biskut cip coklat sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN