KEMAMAN – Tiga pelajar sekolah di daerah ini dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman di sini selepas mengalami simptom dehidrasi dan keletihan setelah menyertai aktiviti merentas desa semalam.
Tiga pelajar dipercayai dari dua buah sekolah menengah berasingan dikejarkan ke hospital itu pada pukul 11 pagi setelah dikesan mengalami simptom disebabkan cuaca panas.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, mereka dilaporkan dalam keadaan stabil dan pihak pengurusan sekolah mengambil tindakan segera membawa ketiga-tiga pelajar terbabit ke hospital selain memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing.
“Pegawai perubatan mengesahkan mereka mengalami keletihan dan dehidrasi, bukan strok haba seperti didakwa di media sosial,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 42 saat mendakwa tiga pelajar sekolah dikejarkan ke Hospital Kemaman ekoran terkena strok haba sewaktu menyertai aktiviti merentas desa.
Kamsah menjelaskan, seorang pelajar menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala seorang lagi dimasukkan tiga botol air sebelum dibenarkan pulang sebagai pesakit luar.
“Seorang lagi pelajar dipindahkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Kuantan, Pahang atas permintaan ibu bapanya. Keadaan remaja itu sangat stabil,” katanya. – KOSMO! ONLINE














