PUTRAJAYA – Simpang Renggam dinobatkan sebagai bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun ini berdasarkan penilaian sistem MURNInets.
Selain itu, bandar lain yang menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2026 termasuklah Dabong, Kelantan; Kluang, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu dan Kuala Lipis, Pahang.
Turut dinobatkan sebagai bandar bahagia antaranya Marang, Terengganu; Mersing, Johor; Permaisuri, Terengganu; Ranau, Sabah serta Raub, Pahang.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2026 mencatatkan skor 6.05 berbanding 5.96 sebelum ini berdasarkan World Happiness Report 2026.
Katanya, peningkatan itu membuktikan rakyat Malaysia kini berasa lebih bahagia walaupun berdepan pelbagai cabaran global.
“Skor ini mencerminkan tahap kebahagiaan rakyat yang kekal stabil dan menunjukkan peningkatan dalam persekitaran global yang semakin mencabar,” katanya ketika merasmikan Hari Kebahagiaan Sedunia peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Katanya lagi, kajian global yang dilaksanakan Ipsos melaporkan tahap kebahagiaan rakyat Malaysia sebanyak 81 peratus, meningkat lima peratus berbanding tahun 2025.
“Secara purata 74 peratus responden di seluruh dunia menyatakan bahawa mereka berasa bahagia. Namun di Malaysia, tahap kebahagiaan dilaporkan lebih tinggi daripada purata global.
“Ini mencerminkan keberkesanan dasar-dasar berteraskan rakyat yang dilaksanakan khususnya dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, meningkatkan akses kepada kemudahan awam serta merapatkan jurang pembangunan,” katanya.
Menurut Kor Ming, buat pertama kali pengukuran tahap kebahagiaan bandar di negara ini diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Katanya, pendekatan itu memastikan penilaian kebahagiaan bandar lebih komprehensif kerana menggabungkan data kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dengan pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran serta perkhidmatan bandar.
“Penggunaan pemberat 80:20 dilaksanakan bagi memastikan penilaian kebahagiaan tidak hanya bergantung kepada persepsi terhadap persekitaran bandar semata-mata, tetapi turut disokong oleh data kesejahteraan rakyat yang lebih berstruktur,” katanya. – KOSMO! ONLINE














