PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin untuk mendakwa seorang bekas pengerusi kuil dan seorang individu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok.
Pendakwaan terhadap kedua-dua mereka dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi.
Semalam, media melaporkan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 70-an ditahan SPRM Selangor kira-kira pukul 3 petang, Khamis lalu selepas memberi keterangan di pejabat agensi berkenaan.
Menurut sumber, suspek dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana kuil berjumlah RM50,000.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada November 2021 dengan bersubahat bersama seorang lagi individu yang ditahan pada Mac lalu.
“Mereka didakwa mengemukakan invois tuntutan perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi kerja-kerja pembaikan kuil, namun kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan,” katanya.
Tambah sumber, tindakan itu dipercayai sebagai helah untuk mengelirukan pihak pengurusan kuil berkenaan. Difahamkan, kuil yang wujud sejak 1950-an itu memperoleh sumber kewangan utama melalui sumbangan dan derma daripada penganut agama Hindu.
Siasatan turut mendapati pendaftaran kuil tersebut dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada Oktober 2024 selain dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah. – KOSMO! ONLINE














