PETALING JAYA – “Kami sepakat derma buah pinggang dan hati arwah demi menyelamatkan nyawa insan lain.”
Itu yang dilakukan keluarga Allahyarham Saripul Hizan Doraman, 47, dari Marang, Terengganu yang meninggal dunia pada 30 Mac lalu akibat strok.
Menurut adik ipar arwah, Nurdiana Mohd. Sabri, 40, biarpuan arwah tidak pernah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ ketika hayatnya, namun aturan Allah SWT mengatasi segalanya apabila urusan pendermaan organ berjalan lancar.
Ujarnya, keputusan mulia ahli keluarga untuk mendermakan kedua-dua buah pinggang dan hati arwah disifatkan sebagai satu ‘lorong’ amal jariah agar pahala terus mengalir.
Katanya, pada mulanya keluarga mahu mendermakan buah pinggang arwah kepada isterinya, Zuhaidah Mohd Sabri, 42, yang juga merupakan pesakit kegagalan buah pinggang.
“Kakak saya memang mahu menerima buah pinggang arwah, namun disebabkan dia tidak pernah menjalani sebarang ujian saringan untuk prosedur pemindahan organ sebelum ini, hasrat itu tidak dapat dilaksanakan
“Tiada rezeki kakak saya mendapat buah pinggang arwah suaminya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Nurdiana yang juga seorang ketua jururawat di sebuah klinik kesihatan di Negeri Sembilan berkata, kedua-dua buah pinggang arwah didermakan kepada seorang pesakit di Hospital Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah prosedur pembedahan berjaya dilakukan baru-baru ini,” katanya.
Katanya, selepas itu kami mendapat tahu seorang pesakit di Hospital Selayang sedang bertarung nyawa dan memerlukan organ itu dengan segera, seluruh ahli keluarga memberikan restu untuk mendermanya.
Menceritakan detik sebelum arwah meninggal dunia, Nurdiana berkata, arwah sebelum ini sering mengadu sakit kepala sejak sebelum Ramadan, namun keputusan pemeriksaan darah tidak menunjukkan tanda-tanda dia menghidap sebarang penyakit.
“Pada hari raya kedua, arwah ada bertanya lagi kenapa kepalanya sering sakit. Arwah turut mengadu pandangannya kabur.
“Pada pagi 27 Mac, arwah mula muntah-muntah dan keadaan fizikalnya menjadi tidak bermaya sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum disahkan mengalami strok,” katanya.
Tambahnya, selepas dua kali ujian imbasan otak dilakukan, pasukan pakar bedah saraf menyatakan otak arwah sudah tidak dapat diselamatkan lagi akibat mati otak dan dia meninggal dunia tiga hari kemudian.
Suasana sebak menyelubungi hospital apabila kakitangan perubatan, rakan dan ahli keluarga memberikan penghormatan terakhir buat arwah.














