SHAH ALAM – Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar mahu membuka perniagaan secara kecil-kecilan kampungnya di Taiping, Perak demi kelangsungan hidup dan masa hadapan tiga anaknya yang berusia sembilan, tujuh dan dua tahun.
Nur Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dia yang hilang punca pendapatan utama perlu kuat untuk membuka lembaran baharu dan hasrat tersebut pernah dikongsikan kepada arwah suaminya sebelum ini.
Katanya, perniagaan itu bukan sekadar menjadi sumber rezeki, malah menjadi cara untuk mengekalkan semangat arwah suaminya dalam kehidupan mereka empat beranak.
“Selain membuat simpanan untuk anak-anak, saya pernah beritahu arwah mahu membuka kedai ‘bundle’ di kampung.
“Arwah sentiasa menyokong apa sahaja (kerja) yang saya buat. Sekarang saya berada di Shah Alam untuk menyelesaikan semua urusan termasuk pertukaran sekolah anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Ken Rimba di sini hari ini.
Terdahulu, ibu tiga anak itu menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang menyerahkan sumbangan tunai dan bantuan persekolahan daripada beberapa agensi agama Islam.
Bercerita lanjut, Nur Nadia berkata, setakat ini keluarga pemandu kereta jenis Honda City yang terlibat dalam kemalangan pada Ahad lalu masih belum menemuinya untuk memohon maaf atas kejadian yang berlaku.-KOSMO! ONLINE.














