MANADO – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 menggegarkan pantai timur Indonesia hari ini, menyebabkan seorang terkorban, sebilangan bangunan rosak dan mendorong penduduk bertempiaran lari ke jalan raya dalam keadaan panik.
Gegaran awal pagi di Laut Maluku antara gugusan Pulau Sulawesi dan Maluku itu mencetuskan ombak setinggi 75 sentimeter (2.5 kaki) di beberapa tempat dan mendorong amaran tsunami.
“Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya cuba untuk menyelamatkan keluarga saya,” kata pemilik gerai makanan, Siti Rohayati, 58, kepada AFP mengenai saat gempa melanda semasa waktu sarapan pagi di Manado, wilayah Sulawesi Utara.
“Apa yang penting hanyalah untuk menjauhkan anak-anak saya dengan selamat. Saya menolak ketiga-tiga mereka dan memberitahu mereka: ‘Lari!” tambahnya.
Seorang mangsa terbunuh apabila sebuah bangunan runtuh di Manado, dan seorang lagi cedera, kata pegawai mencari dan menyelamat George Leo Mercy Randang kepada AFP.
Mangsa tertimbus di bawah runtuhan, katanya, sambil menambah, pihak berkuasa sedang mengenal pasti bilangan penduduk yang cedera.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat(USGS) berkata, gegaran itu melanda pada kedalaman cetek 35 kilometer.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) berpangkalan di Hawaii pada mulanya berkata, gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku dalam lingkungan 1,000 kilometer (621 batu) dari pusat gempa di sepanjang pantai Indonesia, Filipina dan Malaysia.
Ombak tinggi diperhatikan di sembilan lokasi di wilayah Maluku Utara, Sulawesi Utara dan Gorontalo, dengan yang tertinggi mencecah 75 sentimeter di Minahasa Utara, demikian menurut agensi geologi Indonesia, BMKG.
PTWC menarik balik amarannya lebih dua jam selepas gempa dengan mengatakan, ancaman tsunami ‘telah berlalu’. – AFP














