SEBERANG PERAI – Hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.918 bilion yang memanfaatkan seramai 88,150 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor PMKS, bukan sekadar untuk kelangsungan perniagaan, tetapi juga bagi memastikan pertumbuhan dan penskalaan yang mampan.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan modal kerja, pembangunan aset serta peluasan operasi perniagaan.
“Fokus Kuskop ketika ini adalah untuk membantu sektor PMKS berkembang ke tahap seterusnya, bukan hanya bertahan, tetapi berjaya dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui pemberita pada program ‘Balik Rumah’ anjuran One Hope Charity and Welfare di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kuskop kini mempergiat pelaksanaan kempen PowerUp10k yang menyasarkan peningkatan kapasiti 10,000 syarikat tempatan, khususnya dalam memperkukuh daya tahan perniagaan berdepan cabaran ekonomi semasa.
Mengulas tekanan ekonomi termasuk kenaikan harga diesel, Steven berkata, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka tidak terlepas daripada tempias global, sekali gus memerlukan keputusan dasar yang kadangkala sukar dan tidak popular.
“Namun, langkah tersebut penting bagi memastikan kestabilan bekalan dan pada masa sama rakyat masih menikmati harga petrol yang terkawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE














