PETALING JAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) sedang giat meneroka sumber air alternatif bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan kepada pengguna.
Ini kerana kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bekalan air negara bergantung kepada sungai yang terdedah kepada pencemaran dan kemarau.
Jelasnya, penerokaan sumber baharu itu sedang dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).
“Usaha ini termasuklah menaiktaraf kolam takungan pelbagai fungsi dari sumber air permukaan dan air hujan, mendalamkan takungan dasar sungai dan melaksanakan pemetaan sumber air tanah di seluruh negara.
“Penyelidikan giat dilaksanakan bagi Projek PETRAN-SIDS di lembangan Sungai Melaka, Pulau Langkawi, Kedah yang mengambil kira gabungan faktor bekalan air, tebatan banjir dan produk eko-pelancongan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, penyelidikan teknologi disalinasi atau penyahgaraman bagi penggunaan air laut untuk kegunaan minuman dan industri juga dilaksanakan.
Katanya, pelaksanaan itu dengan memberi tumpuan di kawasan pulau terpencil dan komuniti terpinggir.
“Pada masa ini, produk minuman air hujan terawat berbungkus Nahrim iaitu Petran Raindrops dan Cloudrain sudah bersedia ke pasaran melalui pengkomersialan.
“Bagi memastikan kualiti sumber air terpelihara, Makmal Kualiti Air (MKA) NAHRIM yang diiktiraf sebagai Makmal Forensik
Pencemaran Air ini dilengkapkan dengan dengan peralatan analisis bahan cemar baharu dan penjujukan genom mikrobiologi sehingga 200 parameter,”katanya.
Pada masa sama, Fadillah memberitahu, Nahrim turut menerajui aplikasi kecerdasan buatan dan data raya untuk memperkasa usaha pemantauan sumber air secara masa nyata.
“Melalui sistem Artificial Intelligence of River Rating Ranking for Safety, Suitability and Sustainability (AIR3S) yang dibangunkan secara tempatan, tindakan penguatkuasaan dan mitigasi dapat diambil dengan lebih pantas sebelum pencemaran menjadi kritikal.
Selain itu, beberapa produk telah turut dibangunkan oleh Petra dan Nahrim termasuklah ‘PETRAN Peranti Kualiti Air’, ‘PETRAN Penanda Rizab Air’, ‘PETRAN Produk Kawalan Sedimentasi Sungai Semulajadi’ dan ‘PETRAN Produk Perlindungan Tebing dan Dasar Sungai’.-KOSMO! ONLINE













